Wednesday, 15 August 2012

SALAM AIDILFITRI


Selamat menyambut hari lebaran kepada seluruh warga Sek Men Keb Syed Mohamed Al-Bukhary daripada Yang DiPertua dan AJK PIBG.
MINAL AIDIL WAL FA IZIN

Friday, 20 July 2012

SELAMAT BERPUASA RAMADHAN KAREEM


Yang DiPertua dan seluruh Jawatankuasa PIBG Sek Men Keb Syed Mohamed Al-Bukhary mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa, semoga kita semua beroleh KETAQWAAN


Tuesday, 17 July 2012

ISU MEMBENARKAN TELEFON BIMBIT DAN iPAD KE SEKOLAH


Bermacam-macam  reaksi daripada pelbagai pihak hangat diperkatakan apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Deraf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun 2013.

Sememangnya ada pro dan kontranya isu ini. Antara yang membimbangkan kita selaku waris ialah pertamanya, bimbang akan disalah guna kemudahan tersebut. Keduanya apabila akan berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga ini.

Dan dikalangan kita juga tentunya ada yang menyukainya kerana memudahkan kita untuk mengesan anak kita terutama selepas waktu sekolah.

Ramai ibu bapa yang bimbang sekiranya kemudahan ini disalah gunakan untuk perkara seperti menghantar SMS sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari internet pada waktu sekolah, mengemaskini status di Facebook, twitter, merakam aksi kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.

Dan kita juga jangan lupa kesan kepada pelajar yang tidak mempunyai telefon dan iPad, mereka akan mula merengek meminta ibu bapa membelikan gajet ini kerana melihat kawan-kawan lain sudah mempunyainya, dan sikap ingin menunjuk-nunjuk kecanggihan gajet akan menyebabkan timbul pelbagai gejala buruk seperti kehilangan dan kecurian gajet ini dikalangan mereka. Beberapa kesan lain juga akan timbul seperti hilang fokus ketika guru mengajar dan akan wujud pula agen menjual kad tambah nilai dikalangan pelajar dan tidak mustahil dikalangan guru-guru sendiri!

Murid juga akan timbul sikap menjadi malas untuk mencatat nota dengan adanya kemudahan perakam suara dan video pada telefon bimbit untuk merakam pengajaran guru dalam kelas.

Tidak dinafikan banyak negara maju termasuk USA, Jerman. Britain dan Korea Selatan mengiktiraf telefon dan gajet sebagai 'buku digital' dan sekolah-sekolah mereka yang membenarkan kemudahan ini menduduki tangga pertama dalam penyelesaian masalah di sekolah. Namun kita tidak boleh menolak kesan negetif penggunaannya di sekolah jika dibandingkan kepada tahap disiplin dan sikap pelajar negara tersebut dengan Malaysia.

Sehubungan dengan itu Deraf Peraturan Pendidikan ini perlu dilakukan kajian yang menyeluruh dan mendalam bagi menangani pelbagai kesan yang bakal terbit nanti. Yang pasti semua pihak perlu TEGAS apabila dilaksanakan nanti.

PIBG Al-Bukhary akan membincangkan isu ini dalam mesyuarat Jawatankuasa akan datang, insyaAllah.

Wednesday, 4 July 2012

** KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG KALI KE 25 **

Pada 3 Julai 2012 telah berlangsung Kejohanan Balapan dan Padang Sek Men Keb Syed Mohamaed Al-Bukhary kali ke 25. Kejohanan kali ini telah diadakan di Stadium Darul Aman, yang terletak berhampiran sekolah.

Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh Y. Bhg Dato' Haji Mohd Yusof bin Ismail, Pengarah Urusan Usima Group, sebuah syarikat kontraktor hebat di Malaysia yang kebetulan anaknya turut menuntut di SMKSMAB. Walaupun kejohanan dilangsungkan dalam cuaca hujan yang turun mencurah-curah, namun ianya gagal mematahkan semangat warga Al-Buhkary dalam mengharungi penganjuran kejohanan kali ini.

Turut hadir menyaksikan kejohanan ialah beberapa orang AJK PIBG yang turut bertindak selaku pengadil beberapa acara termasuk pertandingan kawad perbarisan kontijen pasukan.

Seminggu sebelum kejohanan, AJK PIBG telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan termasuk meluluskan sumbangan PIBG untuk kejohanan.


Buah delima dimakan undan
Pohonnya subur tumbuh berjajar
Sukan umpama satu medan
Untuk mengasah bakat pelajar.

UPACARA PERBARISAN MASUK KONTIJEN PASUKAN.

















Ucapan perasmian.


Larian obor kejohanan.


Persembahan warga sekolah.

Antara tetamu jemputan yang hadir.


Tumbuh melata keladi bunting
Mencelah pakis berbatang-batang
Siapa kata sukan tak penting
Di sini lahirnya pelbagai bintang.



Menimbun galah di tepi kuburan
Di waktu siang kelihatan pedada
Menang dan kalah bukan ukuran
Semangat juang yang perlu ada.

Tuesday, 15 May 2012

SeLaMaT HaRi GuRu



Selamat menyambut hari guru kepada seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamaed Al-Bukhary. Tahniah untuk kita semua di atas kejayaan memenangi Anugerah PIBG Cemerlang kategori sekolah dalam bandar.untuk tahun 2011/2012 bagi Peringkat Negeri Kedah.


Syabas dan tahniah kepada guru-guru yang turut membantu AJK PIBG dalam merancang dan merangka aktiviti untuk SMSMAB. Ruyung telah kita pecahkan, nikmatilah sagunya...

Monday, 27 February 2012

Pengumpulan dana melalui AMONIA

AMONIA (A Morning in Al-Bukhary)

AMONIA adalah acara tahunan rasmi SMKSMAB untuk mengumpul dana melalui aktiviti bersarapan sambil menderma. Bertujuan merealisasikan sesuatu projek sekolah yang memerlukan kos tinggi.


Projek AMONIA 1 (2010) "Anjung Al-Bukhary"

Terhasil sebuah laluan berbumbung dengan kos RM 26,000 bagi melindungi pelajar daripada basah semasa hujan ketika datang dan pulang dari sekolah.

Projek AMONIA 2 (2011) "Arena Al-Bukhary"

Terhasil sebuah gelanggang serba guna dengan kos RM 42,000 yang menempatkan gelanggang Bola Jaring, Bola Keranjang, Tenis, Badminton dan Sepak Takraw.


 Projek AMONIA 3 (2012) "Surau Sekolah"

Selari dengan konsep perlaksanaan amal ibadat dalam keadaan selesa, maka surau SMK Syed Mohamed Al-Bukhary diberi keutamaan dalam projek AMONIA kali ini.
Kos sebanyak RM 60,000 diperlukan bagi:
  • Menaik taraf pendawaian elektrik dan memasang penghawa dingin.
  • Mengganti karpet dengan jubin.
  • Mengecat semula surau.
  • Mengindahkan laman surau.

Dana amat diperlukan, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui:
Penolong Kanan HEM SMKSMAB.
(Tuan Haji Azizan Bin Saud)
No Tel Sekolah:  04-7308841
Sumbangan boleh disalurkan melalui no akaun PIBG
02011010026477

Sunday, 26 February 2012

Laporan Aktiviti PIBG Tahun 2011

Banyak Program sekolah dijalankan yang melibatkan PIBG secara langsung dan kebanyakkannya membabitkan sumbangan wang daripada PIBG. Antaranya ialah:

1. Merentas Desa

PIBG telah memberi sumbangan wang untuk pembelian hadiah kepada para pemenang Merentas Desa yang telah diadakan pada 16 Januari 2011.

2. Kejohanan Padang dan Balapan SMKSMAB 2011

Kejohanan Padang dan Balapan 2011 telah diadakan pada 26 Jun 2011 di Stadium Darulaman, Alor Setar. PIBG merupakan penaja utama kejohanan ini dengan menyediakan peruntukkan yang besar untuk persiapan dan hadiah kepada pemenang.

3. 'A Morning in Al-Bukhary' (AMONIA)

Amonia telah diadakan pada 5 Mac 2011. Tujuan diadakan program tersebut untuk mecari sumbangan untuk membiayai kos bagi melaksanakan Arena Al-Bukhary. Program ini telah mendapat kejayaan yang cemerlang dengan mendapat sumbangan hampir RM40,000.00. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari waris dan masyarakat setempat.

4. Pembinaan Arena Al-Bukhary

Arena Al-Bukhary ialah sebuah gelanggang serbaguna untuk permainan bola jaring, tenis, bola tampar, sepak takraw, bola keranjang dan futsal. Gelanggang ini telah mula dibina pada bulan September 2011. Kos pembinaan awalnya sebanyak RM32,325.00 dan tambahan kecil telah dibuat dan kosnya telah menjadi RM40,509.00. Gelanggang ini dibiayai sepenuhnya oleh PIBG dengan para dermawan.

5. Majlis Anugerah Cemerlang Akademik (MACA 2011)

MACA 2011 telah diadakan pada 29 April 2011 di Dewan Iltizam. PIBG telah memberi sumbangan untuk membiayai sebahagian kos bagi melaksanakan majlis tersebut.

6. Program Peningkatan Prestasi Akademik

Program Peningkatan Prestasi Akademik telah bermula pada bulan Mac 2011 sehingga peperiksaan PMR dan SPM. Antara program yang dijalankan ialah Kelas Fleksi, Kelas Flashback, Kem Kecemerlangan, program-program motivasi serta ceramah teknik menjawab untuk PMR dan SPM. PIBG telah membiayai sepenuhnya kos untuk mencetak bahan yang digunakan dalam program tersebut dan bayaran penceramah untuk program-program motivasi.

7. Kem Kecemerlangan Pelajar PMR dan SPM

Kem Kecemerlangan PMR dan SPM telah diadakan pada bulan September 2011. Dalam kem ini pelajar-pelajar telah didedahkan dengan hala tuju masing-masing dan cara belajar yang betul. Di samping itu, pelajar juga diberi panduan berguna untuk menjadi pelajar cemerlang.

8. Klinik Matematik

Klinik matematik ini merupakan satu bilik khas bagi guru-guru matematik untuk bertugas membimbing pelajar yang lemah dalam subjek ini. Terdapat kemudahan dan alat bantu mengajar di sini. Proses penyelenggaraan klinik ini telah dibiayai oleh PIBG.

9. Sumbangan kepada Pelajar Pendidikan Khas

Pelajar pendidikan khas di sekolah ini juga mendapat perhatian yang istimewa dari PIBG sekolah. Peruntukkan khas telah disediakan untuk keperluan pelajar ini. Antaranya ialah laluan khas pelajar ini dari asrama ke sekolah, menyediakan keperluan memasak (Cooker Hood) dan lain-lain lagi. Peruntukan juga disediakan untuk pelajar ini yang menyertau acara sukan dan aktiviti kokurikulum.

10. Majlis Bacaan Yasin PMR dan SPM

Majlis ini diadakan pada 6 Oktober 2011 untuk pelajar PMR dan 10 November 2011 untuk pelajar SPM, bertempat di surau sekolah. Pendaftaran waris bermula jam 12.45 tengah hari. Aturcara dimulakan dengan Solat Zohor berjemaah, Solat Hajat dan bacaan Yasin. Majlis melibatkan semua pelajar tingkatan 3 dan 5. Majlis diakhiri dengan Mohon Restu daripada ibu bapa dan guru-guru yang mengajar tingkatan 3 dan 5.

Pemakluman : AMONIA 3 dan Mesyuarat PIBG Kali ke 33 (2012).

Dimaklumkan kepada semua warga Bukharian dan semua waris kepada pelajar, majlis gilang gemilang yang menjadi acara tahunan SMKSMAB iaitu AMONIA 3 ( A MORNING IN AL-BUKHARY) akan diadakan sekali lagi pada 25 Februari nanti, Majlis ini akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Agong PIBG kali ke 33. Mesyuarat PIBG kali ini akan diadakan di Dewan Iltizam.

Guru dan Waris berpisah tiada,..pakatan PIBG membina bangsa berjaya.

AMONIA 3 dijangka bermula seawal jam 7.40 pagi manakala Mesyuarat PIBG akan dilangsungkan pada jam 11 pagi. Diharap pelajar dan waris bersedia untuk merealisasikan satu lagi hasrat suci hasil kutipan dari AMONIA nanti.

Sebelum ini AMONIA 1 yang diadakan pada 2010 berjaya mendidikan "Anjung Bukhary" yang merupakan laluan  pelajar untuk masuk ke perkarangan sekolah dengan selamat ketika hujan tanpa perlu bimbang dengan keadaan basah kuyup untuk belajar.

AMONIA 2 pula telah berjaya mewujudkan satu gelanggang permainan untuk pelajar. Gelanggang ini dinamakan "Arena Al-Bukhary" dan sedia untuk digunakan oleh para pelajar untuk aktiviti permainan seperti Bola Keranjang, Bola Jaring, Badminton dan Sepak Takraw.

AMONIA 3 pula akan mensasarkan surau sekolah serta bilik-bilik khas untuk diberi sentuhan dan kemudahan baru seperti cat dan penghawa dingin yang bakal menjanjikan lebih keselesaan buat semua.
Sama-sama kita bekerjasama dalam satu pasukan kerja yang mantap. Semoga para waris dan guru yang bernaung di bawah payung PIBG SMKSMAB akan mengorak langkah yang lebih bersemangat nanti.

Sama-sama kita nantikan detik itu...semoga dipermudahkan Allah. Amin.

A Morning in Al-Bukhary (AMONIA) 2

Milik siapakah semua hadiah ini?




Antara hadiah untuk cabutan bertuah program AMONIA 2

Antara hadiah untuk cabutan bertuah program AMONIA 2

Salam semua Bukharian, tentu semua teruja bila melihat hadiah- hadiah menarik ini kan? Dalam hati masing-masing berharap agar salah satunya dapat dimiliki nanti,...opppp sabar dulu, kalau ada rezeki  insyaallah dapatlah nanti...banyakkan berdoa ye...tapi dah beli kupon ke?...Sesiapa yang tidak membeli kupon, janganlah berangan-angan pulak nooo..... mungkin inilah persoalan yang berlegar difikiran semua dua tiga hari lepas.

Pada hari ini, Sabtu 5 Mac 2011, berlangsunglah Amonia 2 yang selama ini menjadi perbualan semua Bukharian.  Hari ini menyaksikan pelbagai acara penting berlaku di SMKSMAB. Selain AMONIA 2, hari ini juga penentuan bagi kejuaraan futsal peringkat sekolah. Mesyurat Agung PIBG juga turut dilangsungkan serentak. Para guru dan pelajar masing-masing mempunyai tugas tersendiri.

Semua persoalan kini sudah terungkai....semua telah menyaksikan dan mengalami sendiri kemeriahan program tahunan ini. Bermula dengan senamrobik, acara hari ini disemarakkan dengan jualan dari gerai-gerai yang dikendalikan sendiri oleh para pelajar, guru dan pihak PIBG. Tidak ketinggalan agensi dari luar yang banyak memberi tajaan berupa hadiah dan hamper untuk dijadikan cabutan bertuah.
Gerai Kek dan Roti dikendalikan oleh cikgu Suziana.
Gerai bihun sup dengan tukang masaknya Chef Azizan...

Gerai yang menawarkan barangan keperluan harian (beras, sos, kicap dll) di bawah seliaan cikgu Razif.

Gerai burger yang mendapat sambutan hangat..











Sesungguhnya niat yang baik akan diberkati oleh Allah. Alhamdulillah hasil penat lelah semua pihak yang menjayakan AMONIA 2 ini,  dana yang dikutip adalah seperti berikut:

Kutipan dari guru dan pelajar berjumlah:  RM 18,877.00

Tajaan Agensi luar berjumlah: RM 9360.00

Jumlah pendatan kasar: RM 28,237.00

Modal untuk gerai dan makanan pelajar:  RM 10.996.00

Pendapatan bersih Amonia 2: RM 17,241.00

Perbelanjaan untuk membina Arena Al-Bukhary dijangka mencecah RM30,000.00. Ini bermakna semua warga sekolah harus berusaha menambah kutipan bagi membolehkan arena  yang menempatkan pelbagai  gelanggang permainan dapat dilaksanakan. Justeru Madam Dewi Rosnah memaklumkan bahawa dalam Mesyuarat Agung PIBG baru-baru ini, persetujuan telahpun dibuat anatara sekolah dan pihak waris bagi mendapatkan sumbangan wajib bagi setiap pelajar. Bagi pelajar baru bayaran wajib yang dikenakan ialah RM50.00 dan RM30.00 bagi pelajar sedia ada di SMKSMAB.  Bayaran ini hanya dikenakan sekali sepanjang persekolahan setiap pelajar di SMKSMAB. Melalui kutipan seperti ini, pihak sekolah dapat melaksanakan pelbagai program yang melibatkan pembangunan fizikal sekolah. Semoga semuanya berjalan lancar. Insyaallah.

Arena Al-Bukhary


Mercu Tanda Arena Al-Bukhary


Suasana gelanggang Arena Al-Bukhary

 Gelanggang yang sudah siap dibina

Arena Al-Bukhary ialah sebuah gelanggang serbaguna untuk permainan bola jaring, tenis, bola tampar, sepak takraw, bola keranjang dan futsal. Gelanggang ini telah mula dibina pada bulan September 2011. Kos pembinaan awalnya sebanyak RM32,325.00 dan tambahan kecil telah dibuat dan kosnya telah menjadi RM40,509.00. Gelanggang ini dibiayai sepenuhnya oleh PIBG dengan para dermawan.

Perancangan Arena Al-Bukhary


Salam semua, inilah pelan bagi pembinaan "Arena Al-Bukhary" yang menjadi teras kepada penganjuran program AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Pelan ini menunjukkan pembinaan gelanggang yang fleksibel untuk permainan bola jaring, tenis, bola tampar dan sepak takraw. Arena Al-Bukhary adalah keperluan yang mendesak kepada lebih 1000 pelajar SMKSMAB yang begitu memerlukan tempat untuk beraktiviti samada waktu Pendidikan Jasmani mahupun aktiviti Kokurikulum selepas persekolahan.
Sama-samalah kita menyokong pembinaan gelanggang serbaguna ini dengan sama-sama memeriahkan AMONIA 2 dengan membeli kupon yang berharga RM10.00 setiap satu. Para pelajar boleh mendapatkan kupon melalui guru tingkatan masing-masing. Kupon untuk waris dan jemputan lain juga disediakan. Nantikan hari AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Jangan lupa hari itu juga akan diseiringkan dengan satu lagi majlis iaitu Mesyuarat Agung PIBG. Selain itu pelbagai aktiviti seperti pertandingan Futsal, Sukaneka serta Peraduan Mewarna juga menanti penglibatan semua.

Inilah rupanya kupon yang boleh dibeli untuk aktiviti AMONIA 2 pada 5 Mac nanti. Kupon di atas adalah untuk waris dan orang perseorangan manakala kupon di bawah untuk semua pelajar.

Sejarah Anjung Al-Bukhary

Idea untuk membina ANJUNG AL~BUKHARY telah diilhamkan oleh pengetua SMK Syed Mohamed Al-Bukhary (SMKSMAB) yang ke-13, iaitu Pn. Hjh. Dewi Rosnah binti Radin Suhadi. Sebaik sahaja menerima memo pertukaran mulai 16 Januari 2010, beliau telah cuba untuk membayangkan apakah mercu tanda bagi sekolah ini. Apabila  mula bertugas secara rasmi pada 2 Februari 2010, beliau melihat pelajar-pelajar terpaksa berlari mengharungi hujan ketika dihantar dan diambil oleh para waris yang menunggu di luar pagar sekolah. Kenderaan mereka tidak boleh masuk kerana laman sekolah yang sempit. Bimbang akan keselamatan pelajar-pelajar, pengetua yang lebih mesra dipanggil “madam” lantas membawa hasrat ini ke meja perundingan bersama guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah.
Disebabkan kegawatan, pihak JPN tidak dapat menyalurkan peruntukan kewangan tetapi bersedia memberi kerjasama dan sokongan teknikal. PIBG pula bersetuju untuk mencari dana melalui program “A Morning In Al~Bukhary” (AMONIA) yang telah diadakan pada 15 Mei 2010. Program yang bermula pada jam 7.30 pagi diisi dengan senamrobik, gotong royong kebersihan, jualan makanan dan cabutan bertuah sungguh meriah sehingga jualan kupon terpaksa diulang cetak. Kutipan kasar keseluruhan berjumlah RM 12746.00, agak jauh dari sasaran mengikut pelan asal yang telah dirancang iaitu sebanyak RM60,000.00 (termasuk dua balai menunggu di luar pagar sekolah).  Cikgu Maimunah bt Abdul Majid  berjaya menghubungi cucu Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary, Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor. Beliau yang  mewakili keluarga allahyarham amat prihatin dengan keperluan sekolah  tampil membantu. Akhirnya sejumlah RM 15200.00 telah berjaya dikumpul melalui sumbangan dari  pelbagai pihak penaja dan individu . Akhirnya, mesyuarat bersama PIBG bersetuju untuk membina anjung ini dengan rekabentuk yang diubahsuai mengikut bajet RM26 ribu. Berdasarkan beberapa sebutharga yang diterima, Syarikat Prisma telah dipilih untuk melaksanakan tugas ini dalam masa satu bulan. 

Warga sekolah begitu teruja. Namun banyak dugaan yang tiba. Tiga batang pokok “meranti laut” yang rimbun perlu dikorbankan. Dengan  penuh  rasa rendah hati “madam” mewakilkan PK HEM, Cikgu Azizan Saud untuk merayu kepada Majlis Bandaran Alor Setar (MBAS). Syukur alhamdulillah, Cikgu Azizan pulang dengan senyuman meleret kerana pihak MBAS memberi kebenaran bertulis tanpa mengenakan  sebarang bayaran gantirugi; satu amaun tiga angka yang memang tiada dalam bajet. Pada hari pokok itu ditebang, sebatang dahan telah menimpa kabel elektrik menyebabkan sebahagian kawasan kompleks pendidikan dan kampung sekitarnya tiada bekalan selama beberapa jam. Dalam keadaan kritikal itu sekali lagi “madam” menghantar wakil untuk merayu kepada pihak TNB. Niat yang murni sentiasa direstui Allah. Pihak TNB bukan sahaja datang memulihkan bekalan elektrik malah menyediakan “fork lift” dan tenaga kerja untuk memotong semua dahan yang melepasi kabel elektrik. Disebabkan gangguan ini, kerja-kerja  menebang dan mengangkut berlarutan selama tiga hari tetapi pihak kontraktor tidak mengambil sebarang kos tambahan. Satu lagi amaun tiga angka di luar jangkaan dapat diselamatkan. Terima kasih Mr. Alai yang demam  selepas itu akibat gigitan sekawan kerengga yang terganggu sarangnya.

Kerja-kerja pembinaan ANJUNG AL~BUKHARY dan LALUAN AL~BUKHARY berjalan mengikut jadual walau pun bulan puasa. Cikgu Aziz ditugaskan untuk memantau progres. Satu sepanduk diuruskan oleh PK Kokurikulum, Cikgu Fauziah Ahmad bertulis, “ANJUNG AL~BUKHARY: diusahakan bersama PIBG SMKSMAB..pelajar didahulukan, keselamatan diutamakan” menjadi tarikan semua yang lalu lalang. Ada juga yang terpanggil untuk terus menghulurkan bantuan tambahan.

Sebaik sahaja sesi sekolah bermula selepas cuti Hari Raya ia terus digunakan. Kebetulan pula pagi itu hujan lebat. Anjung tersebut boleh memuatkan tiga hingga lima kenderaan serentak bergantung kepada cara kenderaan berhenti menurunkan pelajar. Ucapan “madam” pada perhimpunan pagi itu berkisar tentang “ownership” mengajak seluruh warga Al~Bukhary menghargai kewujudan ANJUNG AL~BUKHARY yang menjadi mercu tanda sekolah. Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tn. Hj. Asmee bin Tajuddin yang datang menjengah semasa perhimpunan dalam hujan pagi itu turut memuji kesungguhan dan kejayaan   warga sekolah membina anjung tersebut dengan usaha sendiri. 
Madam Dewi Rosnah mengiringi Pn Hajah Sharifah pada hari perasmian Anjung Al~Bukhary.

Pada 10 November 2010, ANJUNG AL~BUKHARY telah dirasmikan oleh Pn. Hjh. Sharifah Fatimah bt. Syed Nor, cucu kepada Allahyarham Syed Mohamed Al-Bukhary.Kini pelajar Al~Bukhary tidak basah kuyup lagi. Kejayaan dan "modus operandi"  ini digunakan sekali lagi untuk membina gelanggang serbaguna ARENA AL~BUKHARY sebagai projek 2011.

Perasmian Anjung Al-Bukhary dan Pelancaran Dana Arena Al-Bukhary

Perasmian Anjung Al-Bukhary  dan  pelancaran Dana Arena  Al-Bukhary –  dirasmikan oleh Puan Sharifah Fatimah bt Syed Noor. iaitu waris bagi pengasas SMKSMAB.  Ketibaan tetamu jemputan disambut dengan iringan bunga manggar dan paluan kompang.  Hari ini bakal dilangsungkan satu lagi acara yang mempunyai  nilai bermakna buat semua warga Al-Bukhary iaitu Perasmian Anjung Al-Bukhary, suatu projek yang dirancang buat kemudahan semua pelajar. Projek ini berjaya dilaksanakan dengan cepat setelah dana yang terkumpul melalui Program Amonia berjaya mengumpul jumlah yang mencukupi. Kos laluan ini dianggarkan berjumlah RM 25 000 jauh lebih kecil berbanding perancangan sebelumnya. Kejayaan ini  sudah cukup untuk membuktikan semangat kekitaan yang padu dalam kalangan warga SMKSMAB. 
Ketibaan Pn Hajah Fatimah pagi ini turut membawa makna tersendiri kerana SMKSMAB bakal melancarkan satu  lagi dana yang dinamakan Dana Arena Al-Bukhary yang bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan gelanggang serbaguna bagi tujuan semua kegunaan pelajar. Pada pagi yang cemerlang ini, setelah pelancaran  dana disempurnakan dengan jayanya oleh Pn Sharifah Fatimah,  Madam Dewi Rosnah menjadi orang pertama menderma.





Madam secara  simbolik memasukkan bermula wang siling 1 sen, 5 sen,  10 sen, 50 sen, RM 1.00. RM 10.00, RM 50.00 dan RM100.00 menjadikan tabung telah diisi dengan nilai RM 161.66 sen.  Seterusnya diikuti oleh derma oleh Pn Hajah Sharifah Fatimah serta para tetamu yang lain, serentak dengan itu juga tabung turut diedarkan kepada semua pelajar dan guru disitu. Pagi itu sahaja jumlah kutipan melebihi RM 600.00. Sememangnya bumi Al-Bukhary bumi yang bertuah.











Hujan yang turun tiba-tiba tidak menghalang acara utama pagi ini iaitu perasmian laluan Al-Bukhary, dengan berpayung dan iringan muzik dari pasukan Tambor sekolah, Pn Hajah merasmikan laluan itu dengan disaksikan oleh semua hadirin. Terima kasih Pn Hajah Fatimah. Semoga jasa anda sekeluarga berkekalan dalam memakmurkan sekolah ini dirahmati Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

http://pibgmybukhary.blogspot.com/